Popular Posts

Friday, December 10, 2010

Bila Persekolahan Mula Dibuka

Selang 20 hari lagi dari rencana ini ditulis, persekolahan bagi Tahun 2011 akan datang lagi. Sambutan penggal persekolahan ini agak berbeza antara suatu kelompok dengan kelompok yang lain sama ada kelompok kanak-kanak sekolah, guru-guru ataupun  ibu bapa.

Bagi kanak-kanak yang sudah lali bersekolah tidak ada masalah besar yang dihadapi. Bagaimanapun bagi kanak-kanak yang baru pertama kali menempuh alam persekolahan, debarannya amat terasa. Ah, macam zaman kita dulu-dululah. Ada yang tidak sabar, sebelum subuh dah bangun. Yang terlebih sabar pula macam-macam karenah dicipta. Perut meragam semacam aje.

Bagi kaum guru pula, menghadapi hari-hari persekolahan agak memenatkan. Itu bagi guru-guru yang komited dengan tugasannya. Berfikir siang dan malam bagaimana untuk memajukan sekolah, memperkasakan anak-anak murid dan memahami pelbagai karenah ibu bapa dan orang-orang atasan. Bagi guru-guru yang tidak komited pula, sekolah ke tak sekolah ke, sama saja. Janji gaji jalan. Silap-silap hari bulan, dapat anugerah cemerlang lagi.

Kelompok yang agak pening sedikit bila menghadapi musim baru persekolahan adalah kaum ibu bapa. Masuk saja bulan Disember, sudah mula berkira-kira tentang bayaran persekolahan anak-anak. Anak seorang boleh tahan lagi tetapi kalau anak dah 'berorang-orang', yang ni paling letih berfikir. Bagi ibu bapa yang berduit tahan sikit. Bagaimanapun bagi ibu bapa yang sekadar cukup makan minum tentu mimpi mereka lebih ngeri. Kalau bayaran setakat dua tiga puluh ringgit seorang tahan lagi tetapi sekarang ini bayarannya dah semacam mengarut. Paling minima untuk seorang seratus lebih. Bayangkan kalau ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai.

Sekiranya pihak kementerian pelajaran dan sekolah mengamati konsep 1Malaysia di mana rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan maka peranan mereka mengurangkan beban ibu bapa diawal musim persekolahan perlu difikirkan. Sebenarnya terlalu banyak cara dan kaedahnya. Tinggal lagi siapa dan bila hendak dilaksanakan. Ataupun semua pihak berharap isu ini disensasikan dulu barulah semuanya beria-ia mengambil langkah yang sepatutnya. Tepuk dada, tanya selera.